TEMERLOH - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu syarikat-syarikat swasta yang terbabit dalam sektor pertanian berskala besar mengamalkan 'konsep tumpang' dengan melibatkan petani kecil tempatan di kawasan pertanian mereka.Perdana Menteri berkata, menerusi konsep itu, petani kecil tempatan boleh diberi peluang menjalankan pertanian di kawasan bersebelahan atau berdekatan tanah pertanian milik syarikat besar dengan mengusahakan tanaman yang sama.
Dengan pendekatan tersebut kata beliau, petani terbabit dapat meniru kaedah atau amalan pertanian moden yang dilaksanakan syarikat tersebut bagi meningkatkan hasil pertanian sekali gus menambah pendapatan mereka.
'Jabatan Pertanian seharusnya menyalurkan pelbagai bantuan termasuk benih, baja dan teknik yang lebih moden kepada petani terbabit supaya hasil yang dikeluarkan setanding syarikat swasta," katanya.
Abdullah berkata, menerusi konsep tumpang itu, pasaran hasil pertanian milik petani terbabit lebih terjamin apabila syarikat swasta tersebut akan membeli hasil yang dikeluarkan oleh mereka.
Beliau yakin dengan menggunakan kaedah tersebut hasil pertanian negara dapat dipertingkatkan selain mengubah taraf hidup petani.
Beliau berucap melancarkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) peringkat kebangsaan dan Taman Pertanian Moden di Lanchang dekat sini hari ini.



Post a Comment