
MENTERI Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengambil sikap berkecuali berhubung kedudukan Ahli Exco negeri, Elizabeth Wong Keat Ping, yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan berikutan kontroversi pengedaran gambar separuh bogelnya.Sehubungan itu, baginda menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, untuk membuat keputusan berhubung kedudukan
Wong sebagai Exco negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan. Pendirian itu dinyatakan baginda selepas menerima menghadap Abdul Khalid di Istana Mestika di sini, semalam.Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda tidak dapat memberi panduan atau nasihat kepada Abdul Khalid berkaitan hal berkenaan kerana isu itu masih dalam siasatan polis dan membabitkan kedudukan Wong dalam politik.
"Sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik," katanya dalam kenyataan dua halaman yang dikeluarkan selepas Abdul Khalid menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyembahkan perkembangan hal ehwal pentadbiran negeri serta isu Wong.

Kontroversi berhubung penyebaran gambar separuh bogel Wong mendapat liputan meluas media sehingga Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.
Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor yakin atas apa jua keputusan yang akan diambil Menteri Besar berhubung isu itu dan percaya ia dibuat secara adil serta bijaksana dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri.
Courtesy: Berita Harian On Line



Post a Comment