
NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin (dua dari kanan), Hishammuddin Tun Hussein (kiri), Mahathir Mohamad (kanan) dan Syed Ali Alhabshee pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-15 UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur
Presiden UMNO berkata, orang Melayu dan bumiputera tanpa mengira kira latar belakang sosioekonomi sama ada bekerja sendiri atau profesional, peringkat umur termasuk tua dan remaja serta pendidikan, harus diterima menyertai parti itu.
Menurut beliau, UMNO juga perlu mewakili segenap lapisan masyarakat kerana hanya dengan cara itu parti berkenaan dapat dipulihkan dan menjadi kuat.
"Saya harap UMNO tidak menjadi parti eksklusif untuk golongan elitis apabila hanya orang tertentu boleh menjadi tunjang kepada parti ini dan kita juga jangan menolak golongan intelek yang boleh menyumbang idea-idea baru.
"Kita juga perlu memastikan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong kita dan mencantas pihak yang dianggap sebagai pencabar, tidak akan berlaku lagi dalam parti," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.
Menurut Najib, UMNO juga mesti sentiasa berada di barisan hadapan dalam membuat pembaharuan bagi memastikan ia terus mendapat sokongan rakyat.
Dalam pada itu, katanya, konsep inklusif yang beliau maksudkan bukan saja merujuk kepada usaha membela orang Melayu dan bumiputera malah harus melibatkan kaum-kaum lain termasuk Cina dan India.
"Kita bukan sahaja perlu menjadi juara bagi orang Melayu dan bumiputera malah sepatutnya membela seluruh rakyat selaras dengan gagasan Satu Malaysia," katanya.
Utusan Malaysia Online



Post a Comment