

Seramai 30 penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor Butterworth dipercayai dapat memboloskan diri dari pusat itu semasa rusuhan yang mengakibatkan kebakaran beberapa blok bangunan semalam.
- Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, selepas pemeriksaan hanya 492 daripada 522 penghuni pusat itu yang berada dalam kawasan berkenaan awal pagi Sabtu dan polis sedang mengenalpasti identiti mereka.
- Katanya, polis melancarkan gerakan memburu mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya serta pemeriksaan di kawasan berhampiran serta merta.
- Semasa bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, dua daripada 30 yang melarikan diri berjaya ditahan semula di kawasan Padang Serai, iaitu sempadan antara Pulau Pinang-Kedah.
- Katanya, kesemua 492 penghuni itu akan dipindahkan ke beberapa buah pusat serenti yang lain dalam masa terdekat.
- Ayub berkata, rusuhan itu berjaya ditamatkan dan seramai 589 anggota polis dan pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi berkenaan sejak lewat petang semalam.
- Selain anggota polis, katanya, 57 anggota Bomba dan Penyelamat terlibat dalam pemadaman kebakaran di pusat itu.
- Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan 11 daripada 12 bangunan yang ada di pusat itu didapati rosak termasuk tiga yang musnah dalam kebakaran, antaranya blok klinik dan pusat latihan.
- "Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada sesiapa yang cedera dalam rusuhan itu ataupun ditahan sebagai tebusan," katanya.
- Beliau berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada sembilan penghuni pusat yang ditahan di dalam sel kerana didapati masih positif dadah walaupun menjalani proses pemulihan.
- Ketika ditanya jumlah petugas pusat itu yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian, tanpa menyatakan dengan jelas Ayub berkata, jumlah mereka adalah mencukupi.



Post a Comment