
Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Selangor, Teng Chang Khim berhubung keputusan menggantung beliau daripada menghadiri persidangan DUN selama setahun.
- Dr Mohamad Khir, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang dan ketua pembangkang di DUN Selangor, memfailkan saman pemula melalui peguamnya, M.M.Athimulan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lepas.
- Selain Teng yang juga pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Negeri Selangor dan Speaker DUN, beliau turut menamakan Setiausaha DUN Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.
- Athimulan memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa saman itu adalah bagi memohon satu deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan itu pada 19 Mei lepas menggantung Dr Mohamad Khir daripada menghadiri persidangan DUN dan menarik balik kemudahan elaun beliau sebagai anggota dewan selama setahun, adalah tidak sah dan terbatal.
- Dr Mohamad Khir juga menuntut satu deklarasi bahawa keputusan DUN pada 15 Julai lepas menggantung beliau daripada menghadiri sidang DUN selama setahun juga tidak sah dan terbatal. Athimulan berkata bekas menteri besar itu turut menuntut deklarasi bahawa keputusan kerajaan negeri mewujudkan Enakmen Penghinaan Dewan 2009 sebagai tidak sah dan terbatal kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.



Post a Comment