
Setiausaha Puteri Umno Selangor, Cik Normuzalifah Abd Patal, sempat menggunakan sepasang teropong untuk melihat dengan lebih dekat prosiding Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin
Pemimpin Umno di peringkat negeri bertekad melaksanakan perubahan bagi memastikan parti itu terus relevan dan mendapat sokongan rakyat terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Sumber: Bernama.
- Mereka berpendapat pembaharuan pada perjuangan Umno, termasuk daripada segi pendekatan dan strategi, perlu dilakukan segera supaya Umno dapat memenuhi keperluan rakyat.
- Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berjanji melakukan pembaharuan itu dan merapatkan kembali barisan kepimpinan di negeri tersebut.
- Beliau berharap pemimpin Umno Terengganu akan mengetepikan perbezaan pendapat di kalangan mereka sebelum ini dan bersama-sama menunaikan amanah bagi kebajikan rakyat.
- 'Itulah harapan kita semua sekali. Apa yang penting adalah rakyat, dan kita perlu memberi khidmat terbaik kepada rakyat,' katanya ketika ditemui pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini semalam.
- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, pula berkata Umno menyasarkan menambah jumlah pengundi Melayu di negeri itu kepada 60 peratus berbanding 47 peratus kini menjelang pilihan raya umum akan datang.
- Ketua Menteri Melaka itu percaya sokongan terhadap Umno akan meningkat setelah Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat negeri dibenarkan menerima keanggotaan baru bagi mempercepatkan proses keahlian, terutama golongan muda.
- 'Pindaan yang dibuat terhadap perlembagaan Umno juga memudahkan kita menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertainya,' kata beliau.
- Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mahu anggota Umno menerapkan nilai keyakinan dan keikhlasan dalam diri dan menjadikannya sebagai antara faktor utama dalam meneruskan perjuangan untuk bangsa dan negara.
- Menurut beliau, perjuangan parti itu perlu diteruskan kerana ia bukan hanya mampu menangani segala isu yang berbangkit, malah ia juga berupaya meningkatkan lagi perkhidmatan kepada rakyat.
- 'Ini amat jelas terbukti dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini di mana Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dikenang oleh pengundi di Bagan Pinang dan mereka menyatakan mereka kenal Tan Sri Isa sebagai seorang yang telah berkhidmat dan berbakti di Teluk Kemang,' tambah beliau.
- Datuk Seri Mohd Shafie berkata demikian ketika beliau menggulung perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini, semalam.



Post a Comment