
DENGAN taksiran pendapatan jualan runcit mencecah AS$100 juta ($139 juta) pada tahun pertama, pusat beli-belah Lifestyle Mall@Medini yang terletak di kawasan ekonomi baru, Iskandar Malaysia, menjanjikan peluang yang baik bagi para peruncit.
- Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Harta Holdings, Cik Rosenah Hassan, berkata pendapatan tersebut merupakan satu taksiran konservatif memandangkan terdapat sekitar 23 juta penduduk dan pelancong dalam kawasan takungan di sekitar pusat beli-belah itu.
- Apatah lagi apabila taman tema Legoland pertama di Asia menjadi jiran. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula lewat tahun ini dam dijangka siap menjelang 2012.
- Untuk memikat minat para peruncit dari seantero dunia, Cik Rosenah berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk menyelaraskan bagaimana pelabur sektor runcit dapat memanfaatkan insentif yang ditawarkan kepada sektor pelancongan.
- 'Ia termasuk pengecualian cukai selama 10 tahun, kemudahan mengambil pekerja mahir asing dan kebenaran memindahkan keuntungan ke luar negara,' jelas Cik Rosenah kepada Ekoniaga semasa ditemu bual semalam.
- Beliau mendedahkan, strategi utama untuk memastikan kadar lalu lintas yang tinggi ialah dengan menyorong para pengunjung Legoland menerusi hubungan langsung yang disediakan.
- Lifestyle Mall@Medini yang menelan belanja RM500 juta adalah sebahagian daripada prasarana gaya hidup di kawasan Medini Utara yang juga akan mempunyai prasarana lain seperti kondominium dan hotel.
- Projek tersebut diutarakan buat julung-julung kalinya di ekspo Majlis Antarabangsa Pusat-Pusat Membeli-Belah Asia di Suntec City. Ekspo tiga hari itu berakhir semalam.
- Menurut Cik Rosenah, Lifestyle Mall@Medini akan mempunyai kawasan lantai kasar (GFA) 1,000,000 kaki persegi yang merangkumi pusat hiburan, kedai-kedai makanan dan minuman serta kedai-kedai runcit yang menyasarkan penduduk tempatan dan pelancong.
- 'Kami ingin menarik para pelabur sektor runcit dari seantero dunia, khususnya mereka yang membawa jenama-jenama baru yang belum ada di Malaysia,' kata beliau, yang turut menambah bahawa tarikan Lifestyle Mall@Medini ialah keunikannya. Ia berlainan daripada apa yang ada sekarang kerana ia luas dan tidak bertingkat. Ia juga mempunyai beberapa laluan dan pintu masuk utama yang mengajak pembeli menyusur kedai-kedai yang ada,' jelas Cik Rosenah.
- Ditanya mengenai kadar sewa, beliau berkata ia mungkin ditetapkan antara RM7 dengan RM10 setiap kaki persegi.
- Iskandar Harta Holdings merupakan anak syarikat milik Iskandar Investment Berhad, syarikat pelaburan yang bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Kawasan Iskandar untuk menarik pelabur bagi pembangunan Iskandar Malaysia.



Post a Comment