
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggariskan empat rukun untuk dihayati ahli parti ke arah menjadikan Umno lebih kental, kukuh, segar dan terus relevan dengan keadaan semasa bagi mewakili orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya.
Sumber; Berita Harian
- Empat rukun itu ialah wahdatul fikr (kesatuan minda), wahdatul qalb (kesatuan hati), wahdatul amal (kesatuan amal) dan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat).
- Merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, malam tadi, Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan terbinanya kesatuan minda, Umno mempunyai visi perjuangan yang jelas, manakala kesatuan hati membolehkan ahli menjiwai erti perjuangan parti.
- "Kesatuan amal pula menjadikan kita bergerak dan bertindak atas satu landasan dan pasukan, manakala kesatuan matlamat membolehkan kita mencapai tujuan perjuangan demi agama, bangsa dan negara," katanya dalam ucapan bertema 'Menggalas Tuntutan Perubahan'.
- Ini adalah ucapan sulung Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno pada perasmian persidangan perwakilan ketiga-tiga sayap itu.
- Sehubungan itu, Muhyiddin mengajak ahli parti bingkas bangun dan merapatkan saf serta menghayati empat rukun itu bagi memastikan perubahan serta pembaharuan dilakukan untuk kelangsungan dan perjuangan Umno.
- Beliau berkata, sejarah membuktikan Umno adalah parti yang sentiasa menjana kekuatan dan membentuk kepimpinan pelapis sebagai sebahagian proses perubahan, sekali gus menjadikan parti itu lebih dinamis, berubah mengikut masa dan membuat penyesuaian mengikut keperluan serta tuntutan zaman.
- Muhyiddin menegaskan Umno serius dengan tuntutan perubahan kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan parti bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.



Post a Comment