
Para penumpang feri Dumai Express 10 yang dapat diselamatkan tiba di pelabuhan Pulau Karimun, di wilayah Riau, Indonesia, semalam.
Sebilangan orang dipercayai mati lemas apabila feri Dumai Express 10, karam di perairan antara Karimun, Indonesia dan Singapura.
'Setakat ini seramai 21 orang mati dan 232 lagi selamat,' kata Encik Nurdin Basirun, seorang pegawai kanan pemerintah daerah di Karimun.
Sumber: REUTERS
'Setakat ini seramai 21 orang mati dan 232 lagi selamat,' kata Encik Nurdin Basirun, seorang pegawai kanan pemerintah daerah di Karimun.
- Namun laporan semasa laman berita Batampos Online semalam memetik nakhoda feri Dumai Expres 10 yang berjaya diselamatkan, Encik Hutajulu, sebagai berkata jumlah penumpang feri itu adalah 255 orang. Ini ditambah dengan 14 orang lagi anak kapalnya, tambah beliau. Laman itu menyatakan hanya enam terkorban: lima perempuan dan seorang lelaki.
- Mereka yang terselamat telah dibawa ke Tanjong Balai selepas feri itu karam kira-kira 10 pagi (waktu tempatan).
- Encik Nurdin berkata pencarian mangsa sedang dijalankan walaupun dihalangi hujan lebat dan arus kuat, dan jumlah kematian dijangka meningkat.
- Jumlah sebenar penumpang yang menaiki feri Dumai Express 10 itu masih belum dipastikan.
- 'Kami khuatir angka mereka yang terkorban akan meningkat. Kami masih dalam proses mencari dan menyelamat,' kata Encik Nurdin kepada agensi berita AFP.
- Sementara itu, Kementerian Ehwal Luar Singapura berkata tiada mangsa warga setempat
- Ketua pengarah pengangkutan laut, Encik Sunaryo, sebelum itu memetik Encik Nurdin sebagai berkata bahawa 292 orang telah diselamatkan dan empat mati lemas, tetapi ketua daerah Karimun itu berkata maklumat tersebut tidak tepat.
- Dumai Express 10, yang seberat 147 tan itu, sedang dalam pelayaran dari pulau Batam ke Pekanbaru di Sumatera, apabila ia karam di perairan pulau Karimun, yang berdekatan dengan Singapura, kata polis.
- Para nelayan adalah antara penyelamat pertama ke tempat kejadian itu apabila mereka berjaya menyelamatkan beberapa penumpang feri itu.
- Feri-feri Indonesia kerap membawa penumpang melebihi muatan yang ditetapkan sehingga mengakibatkan nahas di laut. Rasuah menjadi masalah utamanya, dengan kapal-kapal menawarkan lebih banyak tiket daripada sepatutnya.
- Jurucakap tentera laut Indonesia, Laksamana Pertama Iskandar Sitompul, berkata feri itu karam selepas dipukul ombak setinggi tiga meter.
- 'Kami tidak pasti jika ada yang masih terperangkap dalam feri. Mereka yang sudah diselamatkan sedang menghadapi trauma,' katanya sambil menambah bahawa kapal-kapal tentera laut sedang membantu dalam usaha mencari dan menyelamat itu.



Post a Comment