
Majikan yang menggaji pembantu rumah warga asing diingatkan supaya sentiasa mengawasi pergerakan orang gaji mereka agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata, hasil siasatan mendapati sesetengah kes rompakan yang berlaku di sini melibatkan pembabitan pembantu rumah.
Sumber: Borneo Post
- Menurut beliau, ini berpunca daripada kegagalan para majikan yang pernah menjadi mangsa rompakan meneliti sepenuhnya pergerakan pembantu rumah mereka sehingga memudahkan orang luar yang tidak dikenali memasuki rumah.
- “Oleh yang demikian, pergerakan pembantu rumah hendaklah sentiasa dipantau termasuk merancang dengan teliti tugas harian pembantu rumah mereka terutamanya yang membabitkan urusan keluar dan masuk rumah,” ujar beliau semalam ketika mengulas kejadian rompakan berkumpulan yang berlaku ke atas keluarga seorang bekas ahli majlis tempatan lewat malam Selasa lalu.
- Dalam kejadian itu, katanya, bekas ahli majlis tempatan yang berusia 57 tahun itu cedera di tangan setelah bergelut dengan lima orang perompak yang dipercayai warga Indonesia.
- Selain itu, jelasnya, bapa mangsa yang berusia lingkungan 80-an cedera di bahagian kepala, muka, kaki dan tangan setelah dibelasah kumpulan perompak berkenaan ketika cuba menyelamatkan mangsa.
- Bagaimanapun, kata Shafie, kumpulan perompak tersebut gagal melarikan barang berharga dari rumah berkenaan yang terletak di Jalan Kandis, setelah mereka dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbit mangsa.
- Salah seorang daripada perompak terbabit yang turut bersenjatakan pisau, bagaimanapun sempat membawa lari telefon bimbit milik mangsa.
- Menurut Shafie, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Badan Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Sibu, DSP David Ajek bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
- Hasil siasatan awal, pihak polis telah menahan pembantu rumah bekas ahli majlis tempatan berkenaan yang berusia 38 tahun kerana dipercayai bersubahat dengan kumpulan perompak terbabit.
- “Pembantu rumah terbabit kini ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan pihak polis,” ujar beliau sambil menambah salah seorang daripada ahli kumpulan perompak berkenaan adalah teman lelaki suspek.
- Tambah Shafie lagi, bertindak atas maklumat pihak polis telah berjaya memberkas teman lelaki suspek ketika bersembunyi di sebuah tapak pembinaan di Sungai Merah pada jam 2.30 petang kelmarin.
- Sementara itu, empat orang rakannya masih bebas dan pihak polis kini sedang memburu kesemua suspek terbabit.



Post a Comment