
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Mohamed Azmin Ali, menafikan beliau, isteri dan iparnya membeli saham bernilai RM8.5 juta ($3.4 juta) seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Pemuda Kongres India Malaysia (MIC), Encik SA Vickneswaran.
Source: Mingguan Malaysia.
- Beliau menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana maklumat dokumen yang diperolehi Encik Vickneswaran mengenai perkara itu adalah tidak benar.
- Menurutnya, dokumen tersebut mungkin dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menjejas imej beliau dan kerjaya politiknya serta ahli keluarga.
- 'Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vickneswaran itu tetapi saya percaya dokumen tersebut dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan saya serta isteri memiliki saham RM8.5 juta dari 1992 hingga 1994,' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin.
- Sebelum ini, Encik Vickneswaran, yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia mendakwa memiliki dokumen-dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Encik Azmin dan isterinya, Cik Shamshida Tahrin, termasuk iparnya, Encik Jamal Tahrin, yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.
- Menurut Encik Vickneswaran, dokumen tersebut diterima daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menyerahkan kepada pengawal di kediamannya di Kota Kemuning.
- Namun, Encik Vickneswaran menyatakan beliau tidak tahu-menahu kenapa dokumen tersebut diserahkan kepada beliau.
- Dokumen itu menyatakan maklumat mengenai urusan peruntukan unit-unit saham, pembelian saham dan jumlah kemasukan wang dalam akaun-akaun yang melibatkan Encik Azmin, Cik Shamshida serta Encik Jamal.
- Malah, dokumen itu turut mencatatkan sepanjang tempoh tiga tahun mulai 1992, Encik Azmin telah membelanjakan kira-kira RM800,000 untuk membeli saham manakala jumlah saham yang dibeli Cik Shamshida mencecah RM8.5 juta.
- Encik Azmin berkata, kenyataan tersebut berunsurkan fitnah, berniat jahat serta bermotifkan politik untuk merosakkan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen Gombak serta Naib Presiden PKR.
- Menurutnya, sejak tahun 1998, beliau dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan dirinya dan keluarga.
- Katanya, sebelum ini, beliau juga disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai perolehan hartanya.
- 'Bagaimanapun, saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset yang dimiliki oleh kami sebelum ini,' katanya.



Post a Comment