
Kerajaan Pas Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.
Sumber: BERNAMA
- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan Pas sejak memerintah Kelantan pada 1990.
- "Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di sini Isnin.
- Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi Menteri Besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.
- Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.
- "Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.
- "Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.
- Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya.



Post a Comment