
Sekumpulan 40 murid yang mengikuti latihan taekwondo di sebuah sekolah rendah di pusat bandar Kota Tinggi, Johor bertempiaran menyelamatkan diri gara-gara amukan seekor lembu korban yang memasuki kawasan sekolah berkenaan, kelmarin.
Sumber: Harian Metro.
- Dalam kejadian sekitar 10.15 pagi itu, lembu yang menanti giliran untuk disembelih dalam satu majlis korban Aidiladha di sebuah taman perumahan, kira-kira dua kilometer dari sekolah berkenaan, dikatakan tiba-tiba terlepas daripada ikatan.
- Keadaan kelam-kabut dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Hwa itu berlarutan beberapa minit menyebabkan murid terpaksa mencari perlindungan di atas pentas dewan terbuka sekolah berkenaan sebagai langkah keselamatan daripada ditanduk haiwan itu.
- Situasi berjaya dikawal selepas lebih 20 orang awam yang lalu lalang di depan sekolah itu cuba mengalih perhatian lembu berkenaan sambil menghalaunya keluar dari kawasan sekolah.
- Bagaimanapun, usaha itu bukan mudah apabila lembu itu terus bertindak agresif dengan cuba mengejar dan menanduk orang ramai sehingga ada terpaksa berlindung di belakang tiang bangunan sekolah itu.
- Akhirnya, haiwan itu berjaya lolos keluar daripada sekolah berkenaan sebelum terjatuh ke dalam parit berdekatan dan terperangkap.
- Orang ramai yang mengejar lembu berkenaan mengambil kesempatan untuk menambat talinya ke pagar keselamatan di tepi parit berkenaan sebelum menariknya naik ke satu kawasan tanah lapang untuk disembelih.
- Seorang saksi, Encik Jalil Md Nor, 50 tahun, berkata beliau difahamkan lembu yang mengamuk itu adalah seekor daripada 10 lembu yang hendak dikorbankan di sebuah taman perumahan di sini.
- 'Hampir dua jam kami mengejar lembu itu, keadaan menjadi agak kelam-kabut apabila ia bertindak agresif dan cuba menanduk sesiapa saja yang mendekatinya.
- 'Tetapi mujur tidak ada sesiapa yang cedera dalam kejadian ini, terutama apabila ia masuk ke sebuah sekolah ketika murid sedang berlatih taekwondo,' katanya.



Post a Comment