SUARA BEBAS TUARAN

Sistem penamaan calon perlu dipinda elak suasana tegang

Tuesday, March 31, 2009
Mac 31, 2009

TAIPING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat sistem penamaan calon yang diguna pakai sekarang perlu dikaji semula bagi mengelakkan suasana tegang ketika penamaan calon.
Mengambil kira perkembangan semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sudah tiba masanya pelbagai pihak melihat tentang keperluan mengkaji semula sistem tersebut.
"Kita perlu melihat semula sama ada sistem penamaan calon sedia ada sesuai ataupun tidak dengan keadaan semasa.
"Adakah kita perlu adakan perarakan besar, kehadiran penyokong yang ramai semasa proses penamaan calon sehingga cetuskan suasana tegang dan tidak senang," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Bagaimanapun beliau menekankan bahawa pandangan dan usaha ke arah mengkaji semula sistem penamaan calon memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak.
"Semua pihak perlu berbincang dan menyatakan sokongan," katanya.
Wan Ahmad berkata, suasana ketika hari penamaan calon semalam menggambarkan persekitaran bahawa "negara tidak" dengan pasukan keselamatan terpaksa meningkatkan tahap keselamatan.
Bagaimanapun proses penamaan calon semalam tidak mencetuskan kejadian tidak diingini di ketiga-tiga lokasi penamaan calon bagi kerusi Batang Ai, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Lebih 30,000 penyokong parti-parti bertanding berhimpun ketika penamaan calon.
Hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu mencetuskan ketegangan dengan dua wartawan cedera diserang penyokong parti politik.
Read On 0 comments

BN dan PKR dihantui calon Bebas di Bukit Selambau

Monday, March 30, 2009
Mac 30, 2009

CALON BN dan PKR..Datuk S.Ganesan dan calon PKR S.Manikumar akan berhadapan dengan saingan 13 calon Bebas yang turut bertanding di DUN Bukit Selambau.
SUNGAI PETANI: Banyaknya calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April depan adalah manifestasi suasana politik di Kedah yang masih tidak menentu, kata penganalisis politik tempatan hari ini.
Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruq, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) berkata 13 calon Bebas yang bertanding bersama calon Barisan Nasional Datuk S.Ganesan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar akan mengakibatkan undi berpecah kepada banyak calon.
"Tetapi sekiranya BN menang, maknanya trend pengundi berubah kepada BN selepas kalah di Kuala Terengganu dan Permatang Pauh. Inilah yang diingini BN iaitu melihat perubahan trend pengundi," katanya kepada Bernama di sini.
Dr Azeem Fazwan berkata penyertaan banyak calon Bebas mungkin mencerminkan wujudnya perpecahan ekoran tidak dapat menerima calon yang dikemukakan parti dominan seperti PKR dan BN.
"Apabila parti bertanding memberi calon yang pada pandangan kumpulan tertentu tidak dapat diterima oleh mereka, maka timbullah calon Bebas... cuma sukar dipastikan mereka didalangi oleh sesiapa.
"Ini menunjukkan masyarakat itu berpecah kepada banyak puak," katanya.
Beliau berkata jika BN menang, ia juga boleh diterjemahkan sebagai penerimaan pengundi Bukit Selambau terhadap barisan baru pucuk pimpinan Umno yang dipilih pada Perhimpunan Agung yang baru berakhir.
Bagaimanapun, katanya, isu di Bukit Selambau lebih merupakan permasalahan tempatan dan bukannya isu nasional.
mStar Online
Read On 0 comments

Pembaharuan dalam UMNO bermula

Sunday, March 29, 2009
Mac 29,2009

KEHADIRAN Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO semalam memeranjatkan para perwakilan. Beliau yang mulanya duduk di kerusi pemerhati di tingkat atas Dewan Merdeka PWTC kemudiannya naik ke pentas utama sejurus selepas Najib Tun Razak selesai berucap. Di atas pentas, beliau, Najib dan Abdullah Ahmad Badawi saling berpegangan dan menjulang tangan yang secara spontan menerima tepukan gemuruh para perwakilan.
PERALIHAN KUASA berlaku mengikut tradisi UMNO dengan tenang dan tertib daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59.
NEGARAWAN BERSATU bilamana Dr. Mahathir Mohamad kembali bersama UMNO dalam suasana menyentuh perasaan dan penuh penghormatan. Dr. Mahathir naik ke pentas perhimpunan agung dan bersalaman dengan kepimpinan tertinggi parti termasuk Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak.
Perhimpunan Agung Khas sebelum akhir tahun ini membincangkan pembaharuan termasuk memerangi politik wang:
1)Perlembagaan dipinda bagi memberi mandat lebih ramai ahli (anggaran 60,000 ahli) memilih kepimpinan tertinggi yang akan dibuat serentak di 191 bahagian.
2)Sistem kuota dirombak semula.
3)Rakyat-Parti-Kerajaan. Konsep parti menguasai kerajaan ditambah dengan komponen rakyat.
Parti memahami denyut hati rakyat. Diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan. Apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, UMNO jadi gagah perkasa.
Utusan Malaysia
Read On 0 comments

Umno restui pemimpin rasuah - Tun M

Saturday, March 28, 2009
Mac 28, 2009
“Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah.”
Demikian luahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nukilan peribadinya di blognya semalam.
“Ramai kenalan saya yang fikir saya tidak hadir pembukaan mesyuarat Perhimpunan Agung Umno kerana anak saya Mukhriz kalah pertandingan Ketua Pemuda.
Memanglah saya terasa sedih kerananya.
“Tetapi sebab yang sebenar saya tidak hadir ialah oleh kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka merestui politik rasuah,”jelasnya.
Menurutnya, perwakilan pemuda memilih ketua mereka seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usahanya untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda.
“Sama ada dia dibenar bertanding atau tidak, tidak menidakkan dianya adalah perasuah.
“Hukuman yang dijatuhkan kepada orang ini tidak setimpal dan adil kerana orang lain yang didapati bersalah sama sepertinya tidak dibenar bertanding,”katanya.
Beliau juga menyindir, betapa tidak pernah terjadi orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin, oleh parti dan oleh orang ramai dipilih dan dijunjung tinggi sebagai ketua.
“Tetapi inilah yang dilakukan oleh Pemuda Umno yang dahulu terkenal sebagai barisan hadapan dalam perjuangan Umno,”ulasnya secara sinis.
Tambahnya, Pemuda Umno telah merosakkan imej Umno dan imej orang Melayu sendiri.
“Rupa-rupanya duit lebih utama daripada bangsa dan negara. Apakah rakyat akan terima dipimpin oleh tokoh rasuah yang terkenal? Perbuatan merestui rasuah adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia,”tegasnya.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan mengenai proses pengiraan undi yang tidak masuk akal.“Juga saya hairan kenapa untuk mengira hanya 790 undi mengambil masa lebih dari enam jam?“Apakah pengira undi tidak tahu kira? Atau apakah sesuatu sudah diusahakan untuk menjayakan menantu Perdana Menteri. Ini menjadi soalan bukan daripada saya seorang tetapi oleh semua orang ramai.
“Tak usahlah Perdana Menteri bercakap berkenaan dengan menolak rasuah kerana menantu yang perasuah diberi keistimewaan luar biasa,”jelasnya lagi.
Dan katanya, “inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah.”
Sabah Daily, Harakahdaily
Read On 0 comments

Muhyiddin Timbalan; Zahid Hamidi,Hishammuddin dan Shafie Apdal Naib Presiden UMNO

Friday, March 27, 2009
Mac 27, 2009

TIMBALAN Presiden UMNO yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) bersama calon yang memenangi jawatan Naib Presiden (dari kiri) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas
pengumuman keputusan pemilihan UMNO di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.
kedudukan undi calon timbalan presiden
Muhyiddin Yassin = 1,575
Muhammad Muhd. Taib = 916
calon Naib presiden
Zahid Hamidi = 1,592
Hishammuddin Tun Hussein = 1,515
Shafie Apdal = 1,445
Mohamed Khaled Nordin = 1,397
Rais Yatim = 491
Mohd. Isa Samad = 432
Syed Hamid Albar = 410
Abdul Rahim Tamby Chik = 192
Selaku Timbalan Presiden Muhyiddin berkata "Saya bertanggungjawab untuk membantu Presiden parti. Saya berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh jujur, ikhlas dan sentiasa setia kepada Presiden dalam membantu beliau memimpin parti dan kerajaan "
Utusan Malaysia
Read On 0 comments

Najib PM keenam, Abdullah nyatakan sokongan padu

Thursday, March 26, 2009
Mac 26, 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan Dasar Presiden terakhirnya hari ini menegaskan, beliau akan memberi sokongan padu kepada Presiden Umno baru, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri keenam.
"Saya percaya, saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudikan bahtera negara.
"Saya menyeru supaya beliau diberikan sokongan yang padu untuk membolehkan beliau membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang," kata beliau dalam ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2008 pagi ini.
Najib, Timbalan Perdana Menteri, telah memenangi jawatan Presiden tanpa dicabar selepas Abdullah memutuskan untuk tidak bertanding.
Abdullah turut menjelaskan sebab beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya kali ini.
mStar....more..
Read On 0 comments

Shahrizat, Khairy, Rosnah dipilih ketua sayap UMNO baru

Thursday, March 26, 2009
Mac 26, 2009

Perhimpunan Agung UMNO 2009
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil,Khairy Jamaluddin, dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dpilih sebagai ketua baru tiga sayap Umno semalam.
Shahrizat yang juga penasihat khas Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Wanita Islam dan Pembangunan Sosial dipilih sebagai ketua baru bagi sayap Wanita.
Beliau menewaskan penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz.
Keputusan rasmi menunjukkan beliau memperolehi 507 undi berbanding pencabarnya, Rafidah yang memperoleh 280 undi.
Manakala, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menang dalam persaingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda parti itu.
Ia adalah satu keputusan yang mengejutkan dalam perebutan jawatan nombor satu pergerakan itu apabila Khairy yang mendapat jumlah pencalonan paling rendah muncul sebagai juara di akhir pertandingan.
Beliau memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir (232 undi) selepas 793 anggota perwakilan membuat pemilihan mereka semalam.
Mukhriz dan Dr Mohamad Khir merupakan calon pilihan sejak dari hari pertama peringkat bahagian membuat pencalonan apabila mereka saling bertukar kedudukan tempat pertama dan kedua semasa kempen enam bulan sehinggalah pada saat-saat akhir.
Sementara itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid diberi mandat perwakilan Puteri Umno sebagai peneraju baru pergerakan itu pada pemilihan kali ini, yang menyaksikan jawatan itu dipertandingkan buat julung kalinya.
Dengan mendapat undi sebanyak 245 undi daripada 779 perwakilan, Rosnah yang melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua, mengenepikan saingan lima calon lain
Mereka adalah Datin Ismalina Ismail (59 undi), Shahaniza Shamsuddin (239 undi), Ida Rahayu Md Noor (146 undi), Saarah Ali Bashah (3 undi)dan Bibi Sharliza Mohd Khalid (86 undi).
Mstar
Read On 0 comments

Ceramah Di Sungai Tinggi Cemas Dengan Air Asid

Wednesday, March 25, 2009
Mac 25, 2009
Bukit Gantang – Majlis Memperkenalkan Calon PRK Bukit Gantang di Sungai Tinggi dalam DUN Terong dekat sini, cemas dihujani asid dari meriam air (water canon) polis simpanan persekutuan (FRU).
Bagaimana pun, YAB Dato’ Seri Nizar Jamaludin sempat menyampaikan ucapannya di Markaz MTD Sungai Tinggi, sebelum suasana bertukar menjadi cemas.
Sekitar jam 10 malam, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping pada awalnya hanya meminta pihak penganjur supaya memastikan semua hadirin dan pembesar suara dibawa masuk kedalam bangunan.
Timbalan Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Zulkifli Ahmad berkata pihaknya telah berunding dengan Encik Syed (Timbalan OCPD)
“Perundingan pada mulanya mencapai kata sepakat, apabila Encik Syed bersetuju membenarkan ceramah,
“beliau meminta hadirin yang berada diluar markaz masuk dan pembesar suara jangan diletakkan diluar bangunan,”kata Ustaz Zulkifli yang ditemui Buletinonline.
Namun, sekitar jam 10.30 malam, katanya, setelah pembesar suara dibawa masuk dan sebahagian hadirin berada didalam markaz, pihak FRU tiba-tiba meminta majlis dihentikan.
Ahli Dewan Undangan Kawasan Canning dari DAP yang baru menamatkan ucapannya tekah keluar untuk berunding dengan ketua pasukan FRU.
Ketika itu, pihak FRU tidak mahu lagi mendengar rayuan dan meminta ceramah dihentikan serta merta.
Selang beberapa ketika, setelah majlis berhenti, dengan nada keras, ketua FRU memberi amaran meminta semua hadirin bersurai.
“Semua diminta bersurai dalam masa lima minit, sekiranya tidak, kami akan menyuraikan dengan kekerasan,”ulang ketua FRU sambil berdiri memegang miktrofon diatas atap kenderaan.
Pada masa yang sama dua dua kelompok anggota FRU telah berbaris membentuk enam barisan yang berjumlah lebih hampir seratus orang, bersaip sedia mengambil tindakan.
Dengan perisai dibelelah tangan, anggota FRU mengetuk-ngetuk cota, mengeluarkan bunyi yang menakutkan orang ramai.
Ketika itu trak meriam air sudah bergerak setentang dengan hadapan Markaz dan muncung ‘meriam air’ sudah dilaraskan, menuju sasaran tepat ke kawasan markaz.
Air asid yang berwarna kuning, pedih dan akan ‘mencekik tekak’ sesiapa saja yang bakal menghidunya, sudah sedia dimuntahkan.
Dalam keadaan cemas dan kelam kabut, lebih seratus hadirin wanita bergegas keluar meninggalkan dewan Markaz.
Ustaz Zulkifli memaklumkan Dato’ Seri Anwar yang dijangka turut menyampaikan uacapan, tidak dapat hadir kerana disekat ditengah jalan.
Kira-kira lebih 2,000 hadir ke majlis yang julung-julung kalinya diadakan di UPU Sungai Tinggi, setelah Nizar di isytiharkan sebagai calon PAS, semalam.
Sabah Daily
Read On 0 comments

Najib benteng terakhir

Monday, March 23, 2009
Mac 23, 2009

Sebahagian hadirin mengangkat tangan melaungkan slogan 'Hidup Melayu' semasa Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur, semalam. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ucaptama pada perhimpunan tersebut
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan mana-mana calon yang diketahui mengamalkan politik wang dan menang dalam pemilihan parti kali ini tidak dilantik menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Najib adalah peringkat terakhir pemulihan UMNO yang memegang kunci memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberi ruang dan jawatan dalam Kabinet beliau.
“Peluang terakhir (membetul dan membersihkan UMNO) ada pada Najib. Kalau dia pilih orang seperti ini dalam Kabinet dia, maka peluang masa depan untuk UMNO telah luput,” katanya.
Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, beliau setakat ini tidak nampak UMNO boleh dipulihkan.
Ditanya apakah beliau melihat ada calon tertentu yang layak memegang sebarang jawatan peringkat Majlis Tertinggi, Dr. Mahathir berkata, salah seorang yang layak untuk memegang jawatan Naib Presiden ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
“Rais Yatim seorang yang layak jadi Naib Presiden, dia seorang yang berani,” jelasnya.
Bagi Ketua Wanita pula, beliau merasakan kedua-dua calon iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak layak mengetuai pergerakan itu.
Dr. Mahathir bagaimanapun tidak menamakan siapa yang layak pada pandangan beliau.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas banyak ketika ditanya peluang anaknya, Datuk Mukhriz untuk memenangi kerusi Ketua Pemuda UMNO.
“Saya tidak tahu, nasib dia kalau orang hendak pilih. Peluang dia ada, macam orang lain juga,” katanya.
Ditanya adakah sistem pemilihan UMNO kini yang menjadikannya terbuka kepada berlakunya korupsi, Dr. Mahathir menafikan perkara itu.
“Ia bukan soal sistem, kita sudah tukar dua kali, kita ada sistem bonus, ada yang boleh beli semua bonus-bonus. Kita ada sistem kouta, tetapi ada pihak yang boleh paksa supaya ada pihak yang tidak dapat.
“Ia macam sistem kewangan juga, tukar sistem tetapi penyangak diberi tanggungjawab, hilanglah semua duit. Ia bukan sistem tetapi budaya,” katanya.
Perubahan budaya itu, kata beliau, dapat dilihat apabila semasa dahulu wang tidak wujud dalam politik tetapi kini perwakilan mengambil duit dengan alasan “ada orang hendak beri, maka ambil saja”.
“Kalau orang itu jujur, dia tetap tidak akan ambil walaupun ada orang hendak beri tidak kira dulu atau sekarang,” katanya.
Jelas Dr. Mahathir, apa juga sistem pemilihan boleh dipakai jika ahli dan perwakilan bersikap jujur.
Sementara itu, katanya, beliau masih menimbangkan sama ada mahu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan sebagai pemerhati atau sebaliknya.
Utusan Malaysia Online
Read On 0 comments

Pemuda UMNO pastikan peralihan kuasa berjalan lancar

Saturday, March 21, 2009
Mac 21, 2009
HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama calon-calon Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (dari kiri) Reezal Marican Naina Marican, Mukhriz Tun Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Razali Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO akan memastikan proses peralihan kuasa dalam parti berjalan lancar dan menyokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti serta Perdana Menteri yang baru.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pergerakan itu menghormati dan menghargai Presiden UMNO dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi pada masa sama akan menyokong Najib apabila peralihan kuasa berlaku pada akhir bulan ini.
''Ada pihak-pihak yang tidak ingin melihat UMNO pulih dan ini termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan yang Pemuda anggap sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.
''Tindakan Zaid ini merupakan usaha cuba menjejaskan peralihan kuasa dalam kepimpinan parti yang seharusnya berjalan dengan lancar dan lagi satu siapa dia, dia tidak ada kedudukan dalam UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang terakhir sebelum perhimpunan agung parti pada minggu depan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Turut hadir dua calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir serta semua Exco Pemuda.
Baru-baru ini, Zaid mengeluarkan kenyataan yang meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri. Hishammuddin menegaskan, bekas ahli UMNO itu hanya merupakan liabiliti kepada parti.
Utusan Malaysia Online
Read On 0 comments

Rayuan kepada Agong datang dari orang tidak waras

Friday, March 20, 2009
Mac 20, 2009
KUALA LUMPUR: Rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar jangan melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri datangnya daripada orang yang bukan betul-betul waras pemikirannya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis.
"Dia berhak berkata. Dia (cuma) satu orang (sahaja). Sama ada Yang di-Pertuan Agong mendengar pendapat satu orang itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada media ketika diminta mengulas tentang rayuan itu yang dibuat oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim semalam.
Beliau ditemui di satu sidang akhbar berkaitan penganjuran Forum dan Pameran Pembunuhan di Gaza: Penyelesaian untuk Palestin di sini.
"Orang yang membuat cadangan ini pun bukanlah orang yang disanjung tinggi (dan) dianggap orang yang betul-betul waras pemikiran dia."
"Saya fikir kalau saya jadi (Yang di-Pertuan) Agong saya tak mahu baca apapun pasal ini. Bodoh sangat. Siapa dia nak (jadi Perdana Menteri)?
"Dia (Zaid) tak terpilih untuk bertanding pun....orang macam ini dia lompat sehari 10 kali?macam katak aja. Tak kan (Yang di-Pertuan) Agong nak dengar cakap katak."
Ditanya sama ada beliau memberi sokongan penuh kepada Najib supaya dilantik sebagai Perdana Menteri, Mantan Perdana Menteri itu berkata, "Saya akan menyokong Datuk Najib tapi ia mempunyai syarat di mana beliau hendaklah jangan melantik mana-mana pemimpin yang korup dalam kabinetnya.
Beliau turut mengulas tentang persepsi umum yang mengatakan Najib adalah seorang yang korup.
"Saya bercakap mengenai tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya bukan bercakap tentang apa yang orang ramai percaya. Ramai orang percaya tentang sesuatu tapi tiada keputusan dari segi undang-undang sama ada Najib korup atau tidak.
Bernama..selanjut nya
Read On 0 comments

Jangan layan rayuan - Dr. M

Thursday, March 19, 2009
Mac 19, 2009
KUALA LUMPUR : Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.
Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.
''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.
''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.
Antara keputusannya ialah melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih merebut jawatan Timbalan Presiden selepas pihak lembaga mendapati tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Pengerusi lembaga berkenaan, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama tetapi dikenakan tindakan amaran.
Sementara itu Dr. Mahathir berkata, dalam apa jua keadaan terutama ketika dikenakan hukuman, seorang pemimpin seperti Mohd. Ali wajar mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingannya sendiri.
Ujar beliau, dengan kata lain inilah masanya Mohd. Ali menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti.
''Jika dia betul-betul jujur dan setia kepada parti, inilah masanya dia tunjukkan kesetiaan kerana dengan dia disingkir, parti terselamat.
"Namun begitu jika dia fikir kepentingannya sahaja ini bermakna kualiti kepimpinan UMNO sudah merosot,'' katanya.
Begitu juga dengan pihak yang bersimpati dengan hukuman yang diterima oleh Mohd. Ali, Dr. Mahathir berkata, mereka merupakan golongan yang menyokong gejala rasuah.
''Jika mereka kata simpati, ini bermakna mereka sokong rasuah. Dalam kes ini bukan Lembaga Disiplin sahaja tahu malah semua orang tahu apa yang berlaku.
''Orang yang menyokong rasuah akan memburukkan lagi UMNO dan akan menyebabkan UMNO kalah dan secara tidak langsung mereka mengkhianati UMNO,'' ujarnya.
Dr. Mahathir berkata, sebagai ahli UMNO yang ikhlas dengan perjuangan, mereka sepatutnya akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga.
''Jangan apabila tiba kena batang hidung sendiri tidak mahu sokong tetapi bila kena orang lain hendak sokong pula. Ahli UMNO kena akur dengan keputusan Lembaga Disiplin," katanya.
''Mereka perlu menolak gejala rasuah tidak kira siapa pun yang melakukannya sama ada kena pada pihaknya atau pihak orang lain,'' ujarnya.
Utusan Malaysia Online
Read On 0 comments

KEMBALIKAN KEYAKINAN UMUM TERHADAP KEHAKIMAN

Wednesday, March 18, 2009
Mac 18, 2009
LANGKAWI: Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi kelmarin menggesa para hakim agar berusaha mengembalikan keyakinan umum terutamanya pelabur asing terhadap Badan Kehaki-man negara.
Zaki berkata, antara usaha itu ialah hakim-hakim perlu menerbitkan alasan penghakiman dalam laman web kehakiman agar ia boleh dibaca semua pihak.
“Alasan penghakiman hendaklah ditulis dengan pantas, adil dan saksama dan penghakiman-penghakiman seharusnya diterbitkan dalam laman web kehakimanan untuk dibaca oleh semua pihak,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Hakim-hakim Malaysia 2009 di sini.
Katanya, selain itu, para hakim hendaklah memilih kes-kes yang dirasakan wajar untuk diterbitkan dalam jurnal undang-undang.
Beliau berkata, kes-kes jenayah juga haruslah diselesaikan segera bagi mengelak orang tertuduh merongkok dalam tahanan untuk tempoh yang lama.
Ketua Hakim Negara juga berkata, sebuah Mahkamah Khas Dagang Kuala Lumpur di dalam bidangkuasa Badan Kehakiman diwujudkan sebagai usaha untuk menguruskan kes-kes dagang dengan lebih pantas.
“Penyelesaian kes-kes dagang dengan pantas, cekap dan jujur akan dapat meng-embalikan kepercayaan pelabur asing di Malaysia,” kata beliau.
Beliau berkata, jumlah hakim-hakim di Mahkamah Dagang di Kuala Lumpur telah ditambah manakala hakim-hakim di Mahkamah Rayuan yang berpengalaman telah pun dikhususkan untuk mengurus kes-kes di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Zaki berkata, pengurangan kes tertunggak bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan dan golongan hakim perlu membuat perubahan pemikiran dan cara bekerja dan mereka juga perlu mengurus kes dengan baik.
NST
Read On 0 comments

Brunei menggugurkan tuntutan ke atas Limbang

Tuesday, March 17, 2009
Mac 17, 2009
BANDAR SERI BENGAWAN – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih.
Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.
Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.
“Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.
Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei.
Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu.
Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada perkara-perkara pokok dalam isu-isu berkaitan sempadan dan tuntutan bertindih itu akan membawa banyak kebaikan kepada kedua-dua negara.
Menurut beliau, hubungan Malaysia dan Brunei selepas ini akan melalui era baru dalam kerjasama dua hala tanpa dihantui lagi oleh perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.
Utusan Malaysia
Read On 0 comments

71 kampung terjejas banjir di Beaufort

Monday, March 16, 2009
Mac 16, 2009

Bangunan premis perniagaan turut dinaiki air.
BEAUFORT: Lebih 17,000 penduduk daripada 71 buah kampung di daerah ini terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah ini sejak dua hari lalu dan keadaannya bertambah buruk, kelmarin.
Seramai 179 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Pa’ Musa dan Balai Kelas Fardu Ain (Kafa) di Kampung Limbawang, dekat sini sejak Sabtu.
Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Sidek Abdul Jubar berkata, mereka yang dipindahkan itu adalah daripada beberapa buah kampung yang teruk terjejas teruk dengan bencana itu, selain itu ada juga mangsa yang berpindah ke rumah keluarga mereka.
“Daripada jumlah mangsa yang dipindahkan itu, seramai 169 orang di tempatkan di Dewan Pa’ Musa, manakala 10 mangsa lagi ditempatkan di Balai Kafa di Kampung Limbawang, dekat sini.
Mohd Sidek berkata, sehingga tengah hari ini, paras air di Sungai Padas sudah mencecah 9.75 meter yang jauh melebihi paras bahaya sungai berkenaan, iaitu 8.70 meter.
“Jika keadaan cuaca yang tidak menentu ini berterusan, kemungkinan jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara terutamanya mereka yang tinggal di kawasan tebing sungai akan bertambah,” katanya kepada New Sabah Times ketika dihubungi, kelmarin.
Read On 2 comments

MBI roboh plak "Pokok Demokrasi"

Sunday, March 15, 2009
Mac 15, 2009

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan 'Pokok Demokrasi' yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak itu adalah mengikut undangundang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.
"Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undangundang," katanya mengulas mengenai tindakan pekerja MBI membersihkan kawasan berkenaan pagi ini.
Semalam, MBI mengeluarkan notis mengarahkan pemilik plak 'pokok demokrasi' yang terletak di Medan Istana di sini supaya merobohkan tugu berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Notis itu ditampal pada pokok hujan berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menjadi tempat persidangan 27 Anggota Dewan Undangan Negeri pembangkang yang gagal memasuki Dewan. Persidangan yang dikatakan tidak sah itu meluluskan tiga usul termasuk pembubaran DUN.
Notis yang ditandatangani Pegawai Undangundang MBI, Syahrul Azrin Ghazali bagi pihak Datuk Bandar Ipoh menyatakan pembinaan tugu itu menyalahi Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.
Dua hari berturut-turut sebelum ini, plak berkenaan telah dipecah dan disimbah cat oleh pihak yang tidak diketahui.
Sejak dibina dan penanaman lima anak pokok hujan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin minggu lepas, kawasan berkenan menjadi tumpuan ramai pelawat. BERNAMA
Read On 2 comments

Shafie: "Saya mahu jadi Naib Presiden Umno Malaysia, bukan Sabah

Saturday, March 14, 2009
Mac 14, 2009
Datuk Seri Shafie Apdal berada di kedudukan ketiga dari segi sokongan populariti khususnya di kalangan responden pengundi berdaftar masyarakat Melayu. Buat julung kali Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ini bersaing untuk jawatan Naib Presiden yang turut ditanding tujuh calon lain.
Beliau merupakan wakil tunggal dari Sabah.
Sejak awal 1990-an Sabah dilihat sebagai negeri yang mempunyai 'kata putus' dalam menentukan kemenangan seseorang calon.
Bagaimana pula kali ini di mana Sabah menurunkan Shafie sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden. Temu bual bersama Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ini merungkai sedikit sebanyak persiapan serta pendapatnya sebagai calon tunggal Naib Presiden Umno dari Sabah.
Sejauh mana faktor itu akan memihak kepadanya, Shafie berkata: Saya bertanding bukan kerana hakikat dan menjadi wakil peringkat negeri Sabah semata-mata."
"Saya telah berkhidmat lebih daripada lima penggal di peringkat Majlis Tertinggi, dimana pelbagai isu yang telah kita bincangkan termasuklah hasrat rakyat akar umbi.
"Kalau ditakdirkan Allah s.w.t., saya menang kerusi Naib Presiden sekalipun saya tidak akan menjadi Naib Presiden Umno Sabah tapi saya jadi Naib Presiden Umno Malaysia... cuma secara kebetulannya saya di peringkat negeri Sabah," kata beliau.
Read On 0 comments

KORIDOR PEMBANGUNAN SABAH DIPERSIMPANGAN JALAN

Thursday, March 12, 2009
Analysis Solymone(Updated)

Pelancaran Koridor Pembangunan Sabah Oleh PM

DATUK SERI MUSA TAG LINE "NONE WILL BE LEFT BEHIND"
Tidak berapa lama dehulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyeru agar rakyat Sabah tidak mendengar khabar-khabar angin yang mewar-warkan ada pertukaran kerajaan akibat perlompatan MP BN kepada PR.
  • Menurut beliau kita sepatut nya menumpukan perhatian kepada pembangunan Sabah yang sedang pesat kini. Pelancungan dari dalam dan luar negeri makin bertambah ramai, kata beliau. Saterus nya beliau menekankan bahawa Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang bertag kan “ No one will be left behind” akan di laksana kan bila-bila masa.
  • Pada August 18, DSMA telah menyatakan bahawa Koridor Pembangunan Sabah (SDC) setakat ini telah berjaya membawa masuk 34 pelabur. Pelabur itu, yang terdiri daripada syarikat tempatan dan asing dan dari Semenanjung Malaysia, membabitkan pelaburan digabungkan berjumlah beberapa bilion ringgit dan meliputi pelbagai sektor, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Wilayah Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini.
  • Beliau menambah bahawa SDC, yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh 18 tahun mulai 2008 hingga 2025, dijangka membawa masuk pelaburan berjumlah RM105 bilion dan mewujudkan 900,000 pekerjaan sepanjang tempoh itu.
Analisa Solymone

SABAH DEVELOPMENT CORRIDOR - ANTARA DUA DARJAT
SDC ini ada lah program serius yang melibatkan masa depan rakyat Sabah, Selaku rakyat yang perihatin, saya telah membuat kajian sama ada program ini akan menepati sasaran untuk membasmikan kemiskinan dan dapat mengurangkan gejala pengangguran.
  • Untuk tujuan tersebut saya telah bertemu dengan beberapa orang pakar terdiri dari pegawai-pegawai kanan kerajaan di peringkat Ibu Pejabat dan daerah . Disamping itu saya telah juga sempat bertemu dengan beberapa orang pemimpin politik di sini. Antara persoalan yang saya kemukakan ada lah saperti berikut;
  1. Sama ada individu-individu yang saya temui telah terlibat secara lansung dalam kajian dan detail perancangan SDC.
  2. Dengan keadaan kegawatan ekonomi yang sedia ada, dapat kah kerajaan merealisasikan program yang begini mega untuk di laksana kan dalam masa yang di tentukan khas untuk SDC.
  3. Dengan berkonsepkan “ No district will be left out “ ada kah semua Ahli-Ahli YB Di seluruh negeri Sabah terlibat secara lansung dalam program SDC ini.
  • Dalam hypothesis, saya mendapati bahawa program SDC yang di bangga-bangga kan oleh DSMA, tidak lah seindah saperti yang di katakan. Terlalu banyak 'loop hole' yang melambangkan kegagalan kearah pencapaian matlamat.
  • Pegawai-pegawai kanan dan ahli-ahli YB yang bertanggung jawab secara terus kepada masyarakat tidak di libatkan secara lansung dalam perancangan awal. Kita di faham kan bahawa perancangan dan 'Blue Print' ini telah di kendali kan dengan cepat oleh pakar perunding private yang hanya di ‘hand-picked ‘ oleh pehak atasan.
  • Saya di faham kan bahawa Pakar Perunding ini kurang pengalaman dalam kerja-kerja mengumpul fakta sebenar masaalah sosio-political kawasan–kawasan yang di target kan. kerana masa yang begitu singkat, analisa mereka terlalu akedimik dan hanya fokus pada hal-hal yang selesa untuk kerja mereka. Justru itu, banyak perkara yang di kira penting tercicir.
  • Program SDC tidak menampakkan ketelusan yang di impi-impikan oleh segenap rakyat Sabah. Ia nya lebih berpehak kepada ‘Group interest dan profit oriented team’ . Setakat ini kita difahamkan cuma tiga lokasi yang telah di kenal pasti dan telah mendapat kelulusan ia itu di Sepangar KK, keningau dan Lahad Datu. Yang lain maseh dalam pertimbangan. Kelulusan nya hanya tertaalok kepada nasib.
  • Contoh nya Tuaran, daerah saya, hingga saat ini kita belum pun mendengar bahawa ada nya program Mega yang sehaluan dengan program SDC. Sedang kan penduduk daerah tersebut kebanyakan nya terdiri dari warga miskin dan Penganggur. Mala kebanyakan pekan-pekan di daerah ini layak di gelarkan 'Ghost Town'.
  • Demikian juga kisah nya dengan daerah-daerah saperti Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas. Saperti Tuaran, daerah-daerah ini juga mengalami nasib yang sama dahsyat nya.
EPILOGUE
Suka atau tidak nya, secara tidak lansung hal-hal saperti ini telah mempotrietkan kelemahan pemimpin dan sekali gus kerajaan BN.
To DSMA, nothing personal, but as it is; it is sad to know that in your governance, the rakyat of sabah is not only left behind but had been projected out into the era of darkest poverty and everlasting unemployment.
Read On 0 comments

CADANGAN JADIKAN WISMA KHIDMAT ATASI MASALAH DI QEH

Wednesday, March 11, 2009
Rabu,Mac 11, 2009

Gambar Bangunan Hospital Queen Elizabeth
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mencadangkan untuk mengambil alih bangunan Wisma Khidmat yang terbiar dijadikan hospital sebagai langkah sementara untuk men-yelesaikan kekurangan katil di Hospital Queen Elizabeth.
Kabinet Negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Musa Aman mengadakan mesyuarat khas dengan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dan para pegawai kanan kementerian itu untuk membincangkan cadangan untuk menyelesaikan masalah di QEH itu.
“Ini isu segera dan kita akan kaji cadangan yang dibuat oleh kerajaan negeri ini,” kata Liow kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Musa di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya kelamrin.
Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk menggunakan Wisma Khidmat yang terbiar setinggi sembilan tingkat dan juga empat blok yang jauhnya kira-kira 400 meter dari QEH digunakan untuk perkhidmatan kecemasan dan dapat menampung 250 katil sebagai langkah alternatif berikutan bangunan QEH kurang selamat.
Liow berkata para pegawainya akan meng-kaji kesesuaian cadangan Kerajaan Negeri itu dan akan membuat keputusan segera berhubung perkara itu kerana ianya perkara yang perlu disegerakan berikutan masalah yang dihadapi oleh pesakit di QEH.
Beliau berkata cadangan Kerajaan Negeri itu adalah langkah awal kerana rancangan untuk membina dua menara berkembar QEH masih berjalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan. “Ia masih merundingkan harga untuk projek bangunan itu saja.”
Ketika ditanya sama ada rancangan untuk menjadikan Wisma Khidmat untuk mengatasi masalah di QEH itu akan memakan masa setahun untuk disiapkan, beliau berkata jika cadangan itu dipersetujui, ia mungkin akan mengambil masa kurang setahun.
“Kerajaan Persekutuan amat memberikan perhatian tentang penyediakan perkhidmatan kesihatan malah kakitangan kami juga bekerja lebih masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi di QEH. Kakitangan kami bekerja di bawah teka-nan dan mengejar masa untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Kota Kinabalu,” tambahnya.
New Sabah Times
Read On 0 comments

Demonstrasi PPSMI didalangi pembangkang

Sunday, March 08, 2009
March 08,2009

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demontrasi jalanan semalam.
Beliau berkata berdasarkan apa yang berlaku jelas memperlihatkan bahawa pertimbangan mereka bukanlah bersandarkan perjuangan pendidikan kerana sanggup melanggar undang-undang, mengaitkan institusi istana dan mencemarkan imej masjid.
"Saya lihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku semalam. Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri apa yang saya sudah tahu lama, iaitu di belakang gerakan ini ada dalang-dalang yang sanggup mengeksploitasi apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka.
"Saya tidak bermaksud semua yang terlibat (pertimbangan bukan berdasarkan kepentingan pendidikan) tetapi ada kalanya mereka ini diperalatkan untuk kepentingan tertentu," katanya ketika mengulas kejadian itu pada sidang media di kediamannya di sini.
Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) semalam menjadi kecoh setelah penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis untuk berbuat demikian.
Perhimpunan yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain sebilangan peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.
Courtesy :Bernama dan Berita Harian Online
Read On 0 comments

5 pokok ditanam di tapak sidang tergempar DUN Perak

Saturday, March 07, 2009
UPDATED ON March 8,2009


IPOH: Pakatan pembangkang di Perak akan menanam lima batang pokok ahad ini berhampiran sebatang pokok yang dijadikan tapak 'sidang tergempar' oleh 28 anggota Dewan Undangan Negeri pada Selasa lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming daripada DAP berkata, lima pokok itu akan dinamakan sempena lima prinsip yang menjadi motto pakatan DAP, PAS dan PKR semasa ia mentadbir Perak sebelum bertukar kepada Barisan Nasional bulan lepas akibat tindakan tiga anggota pembangkang keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.
Lima prinsip itu ialah keadilan, amanah, ketelusan, wibawa dan kebajikan.
Nga berkata, beliau menjangka tapak sidang DUN di bawah pokok itu bakal menjadi satu lokasi tarikan pelancong
.
BERNAMA
Read On 0 comments

Peta Lokasi Pelawat Online

Ruang Hiburan - Lagu-Lagu Sensasi

Juara Realiti TV3 - Vocal



BLOG ANTARA BENUA SAYA - DALAM VERSI BAHASA INGGERIS

************************************

************************************
BLOG SENSASI BULAN INI

........................................................................

........................................................................
BLOG PAUTAN

LAWATAN SEJAK 17/09/2009

free counters

BERSEH 2.0 - FINAL COUNTDOWN

Muzik - Kitaro

Blog Archive


BLOG PILIHAN YANG PALING AKTIF MINGGU INI

BLOG HIBURAN DAN SERBA SERBI

BLOG HIBURAN DAN SERBA SERBI

.......................................................................

.......................................................................
BLOG TETAMU SEMASA

.....................................................................

.....................................................................
BLOG RUJUKAN

GLOBE _LOKASI

JUMLAH LAWATAN TERKINI SEJAK 30 HARI YANG LALU

NEGARA DAN BILANGAN PELAWAT

DETAIL KEHADIRAN PELAWAT

PELAWAT DARI AHLI MYBLOG

Related Posts with Thumbnails