
Malaysia menggesa Amerika Syarikat agar mengkaji semula amaran yang terkandung dalam nasihat pelancongannya bahawa pengganas sedang mengarahkan sasarannya ke destinasi-destinasi pelancongan di Borneo, sambil menyifatkannya sebagai 'salah dan mengelirukan'.
Sumber: AFP
- Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur minggu lalu berkata terdapat tanda-tanda bahawa kumpulan-kumpulan pengganas sedang merancang untuk menyerang kawasan-kawasan terpencil di timur Sabah, di pulau Borneo, termasuk di Pulau Sipadan, sebuah pulau peranginan yang digemari pelancong Barat.
- Malaysia kelmarin memanggil duta Amerika ke negara itu, Encik James Keith, untuk menyampaikan kebimbangannya terhadap perkembangan itu, dan menegaskan bahawa keadaan keselamatan di Sabah 'tidak seperti yang ditanggap' dalam amaran pelancongan yang dikeluarkan Amerika itu, kata kementerian luar Malaysia dalam kenyataannya lewat kelmarin.
- 'Amaran pelancongan itu telah menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan rasa terperanjat di kalangan para pemimpin dan orang awam Malaysia mengenai dakwaan suasana keselamatan di tempat-tempat peranginan pelancong yang popular di timur Sabah,' katanya.
- 'Ia boleh menghasilkan gambaran salah, keliru dan negatif kepada dunia luar mengenai suasana keselamatan di Malaysia keseluruhannya berkaitan dengan ancaman pengganas,' tambah kenyataan itu.
- Kementerian itu berkata timbalan setiausaha agungnya, Datuk Radzi Abdul Rahman, telah menggesa duta berkenaan 'agar mengkaji semula notis dan amaran pelancongan itu, memandangkan peraturan keselamatan yang kukuh ketika ini'.
- Bagaimanapun, para pegawai kedutaan Amerika di Malaysia tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan.
- Pihak berkuasa Malaysia tidak mahu menghebohkan amaran itu, sambil berkata langkah-langkah keselamatan dan mengumpulkan maklumat risikan di kawasan tersebut telah ditingkatkan dengan banyaknya sejak kejadian beberapa tebusan asing yang diculik anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf pada 2000.
- Negara-negara lain pernah memberi amaran kepada rakyat masing-masing mengenai ancaman serangan pengganas di Sabah, tetapi amaran terbaru oleh Amerika itu adalah lebih khusus, terutama di kawasan-kawasan yang disyaki menjadi sasaran serangan itu.
- Amerika telah mengenal pasti destinasi-destinasi seperti Semporna, Mabul dan Sipadan sebagai potensi sasaran pengganas, dan menggesa warga negaranya agar 'mengelak atau amat berhati-hati berkaitan dengan sebarang rancangan pelancongan di kawasan-kawasan atau lokasi-lokasi itu'.



Post a Comment