
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, yang diburu polis sejak hampir lapan bulan lalu, kini berada di London.
Sumber: CyNews,Utusan Malaysia.
- Ini menurut risikan bersama polis Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol), kata Tan Sri Musa kelmarin. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan adakah Raja Petra, 59 tahun, tinggal di pangsapuri mewah Gloucester Terrace, di Bayswater, London.
- Tan Sri Musa juga berkata jika Raja Petra berasa tidak bersalah dia perlu kembali ke Malaysia bagi membersihkan namanya.
- 'Jika benar, baliklah ke Malaysia dan bersihkan nama, bukannya sembunyikan diri di negara asing,' katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
- Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan kerana menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell itu dalam blog www.malaysia-today.net bertarikh 25 April 2008. Raja Petra dituduh juga memfitnah Datin Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.
- Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebas tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.
- Tan Sri Musa berkata Raja Petra kini berstatus pelarian memandangkan dia keluar negara tanpa dokumen sah kerana semua dokumennya, termasuk pasport, telah dirampas selepas dia disahkan muflis.
- Ditanya mengenai langkah memohon ekstradisi terhadap Raja Petra, Tan Sri Musa berkata polis telah berbuat demikian namun ia akan mengambil masa.
- 'Kita perlu menghantar beberapa dokumen kepada pihak penguatkuasa negara itu bagi membolehkan inkues terhadap Raja Petra dijalankan di sana (London) sebelum dia dihantar pulang ke sini,' katanya.



Post a Comment