
Kerajaan Malaysia sedang mengkaji kemungkinan menghadkan bekalan minyak kepada stesen minyak di kawasan sempadan negara itu sebagai langkah mencegah penyelewengan.
Sumber: CyNews
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik oleh agensi berita Bernama sebagai berkata ini kerana terdapat laporan menunjukkan sesetengah stesen minyak di kawasan berkenaan merekodkan jualan yang tidak munasabah berbanding keperluan sebenar.
- Kerajaan Malaysia bimbang jika bekalan petrol dan diesel ini tidak dihadkan, akan timbul lebihan bekalan yang boleh menyumbang kepada kegiatan penyeludupan, katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa stesen minyak berhampiran sempadan di sini kelmarin.
- Pada masa ini terdapat 334 stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan di seluruh negara itu.
- Mengenai penjualan maksimum 20 liter minyak kepada kenderaan asing, beliau berkata, sejak penguatkuasaan peraturan itu pada 16 Disember lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menyita empat stesen minyak di sekitar kawasan sempadan kerana tidak mematuhi arahan itu.
- Pada masa yang sama, jualan petrol dan diesel di 334 stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran juga susut antara 10 hingga 20 peratus sejak Disember lalu, lapor akhbar Utusan Malaysia semalam.
- Sejak 9 Disember lalu, Malaysia tidak membenarkan kenderaan asing yang ingin melintasi sempadan untuk balik ke negara asalnya dengan mengisi muatan tangki melebihi 20 liter.
- Berikutan arahan itu, semua stesen minyak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan yang melibatkan Perlis, Kedah, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak dilarang menjual petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing.
- Ini bagi memastikan subsidi petrol dan dieselnya hanya diterima oleh rakyat negara itu, terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah.
- Semalam, satu laporan Bernama memetik Datuk Seri Ismail sebagai berkata bahawa mekanisme berhubung pemberian subsidi petrol kepada golongan sasar yang benar-benar layak menerimanya dijangka diumumkan sebelum 1 Mei ini, tarikh yang mana Malaysia akan memansuhkan sepenuhnya harga bersubsidi kepada warga asing.
- Beliau berkata, ia bagi membolehkan kementeriannya mendapat maklum balas daripada orang ramai dan mengenal pasti sekiranya ada sebarang kelemahan dalam mekanisme itu.
- 'Setakat ini, kementerian masih berbincang dan menjalankan kajian terperinci mengenainya termasuk kemungkinan berlaku sebarang penyalahgunaan,' kata beliau kepada pemberita di Putrajaya, Selangor, semalam.
- Datuk Ismail berkata, antara mekanisme yang sedang dibincangkan ialah mengehadkan jumlah pembelian petrol kepada setiap pengguna yang layak dan pemberian subsidi petrol mengikut jenis kenderaan.



Post a Comment