
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan 15 Mac ini bagi sebutan satu permohonan oleh seorang wanita Melanau untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia merampas lapan cakera padat (CD) ceramah Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', demikian lapor sebuah laman berita tempatan.
Sumber:CyNews
- Tarikh itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar mahkamah itu, Tuan Nik Mohd Fadli Nik Azlan, dan secara tidak langsung mengulangi satu lagi pusingan pertikaian di mahkamah berhubung penggunaan kalimah 'Allah', kata laporan The Malaysian Insider, semalam.
- Malaysia telah menghadapi satu pertikaian hebat berhubung penggunaan istilah tersebut sejak Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu memutuskan bahawa sebuah akhbar mingguan Katolik berhak, dari sudut perlembagaan negara itu, untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam ruangan bahasa Melayunya sebagai pengganti kepada perkataan 'God'.
- Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa golongan penduduk Islam di sana, hingga berlakunya serangan bom dan tindakan merosak lapan buah gereja sejak Jumaat lalu.
- Dalam kes terbaru, pemohon mendakwa bahawa lapan CD yang dirampas itu adalah untuk kegunaan peribadinya.
- Terbitan CD dalam bentuk audiovisual itu mengandungi kalimah 'Allah'.
- Cik Jill Ireland Lawrence Bill, 27 tahun, anggota Sidang Injil Borneo (SIB), pada Mei tahun lalu diberi izin memulakan satu prosiding semakan semula kehakiman terhadap KDN dan kerajaan Malaysia, sebagai responden.
- Cik Ireland mahu satu arahan certiorari untuk menolak keputusan yang membolehkan KDN merampas lapan CD itu.
- Beliau juga mahu lapan CD-nya itu dipulangkan, serta mengisytiharkan bahawa beliau pemiliknya yang sah dan boleh menggunakan dan mengimport bahan yang mengandungi kalimah 'Allah' itu, lapor The Malaysian Insider.
- Pada 11 Mei lalu, KDN merampas lapan CD itu di bawah Seksyen 9 (1) Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 apabila Cik Ireland, seorang kerani, mendarat di Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) Sepang.
- Antara lain, ia mengandungi tajuk, 'Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah', 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', yang dibawanya dari Indonesia.
- Cik Ireland, seorang bumiputera Sarawak beragama Kristian, mendakwa beliau mengunakan perkataan 'Allah' dalam doa, sembahyang dan pendidikan agamanya.
- Menurutnya, beliau menerima surat bertarikh 7 Julai lalu daripada KDN, yang menggariskan sebab-sebab tindakannya merampas lapan CD itu, termasuk alasan bahawa ia satu ancaman kepada keselamatan negara kerana menggunakan kalimah yang dilarang dan melanggar garis pandu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
- Sementara itu, akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya teguh dengan pendiriannya untuk mengharamkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh golongan bukan Islam, bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama.



Post a Comment