
Gambar Illustrasi
Tiga remaja lelaki bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas dua tuduhan membakar dua surau, manakala seorang tertuduh juga menghadapi tuduhan membuat laporan polis palsu pada bulan lalu.
Sumber: Cy News, BHM.
- Dua yang tertuduh, masing-masing berusia 17 tahun lapan bulan dan 17 tahun empat bulan, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun tetapi sudah berhenti sekolah, tidak mengaku salah di depan Hakim Majistret Lydiana Mansor.
- Bagi tuduhan pertama, mereka bersama-sama melakukan khianat dengan menggunakan api untuk menyebabkan kebinasaan kepada suatu bangunan yang biasanya digunakan sebagai tempat ibadat, iaitu Surau Parit Beting, di Jalan Salleh, antara kira-kira 12.30 pagi dengan 1 pagi, pada 21 Januari lalu.
- Bagi tuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap Surau Silaturahim, di Jalan Muar, di sini, antara kira-kira 2 pagi dengan 3.15 pagi, pada hari yang sama.
- Mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
- Remaja berusia 17 tahun lapan bulan itu turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu membuat laporan polis palsu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Muar, pada jam 3.54 pagi hari yang sama.
- Dia didakwa mengikut Seksyen 182 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 ($827) atau kedua-duanya.
- Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Umar Saifuddin Jaafar, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
- Encik Umar memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 (kira-kira $4,128) bagi setiap dua tuduhan membakar surau dan RM5,000 lagi bagi tuduhan membuat laporan palsu.
- Ketiga-tiga tertuduh, bagaimanapun, merayu kepada mahkamah supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan mereka daripada keluarga miskin.
- Namun, Encik Umar memohon mahkamah mengambil kira kepentingan orang awam dalam kes itu, dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan membakar surau dan RM5,000 bagi kes laporan palsu.
- Tarikh sebutan semula kes itu pula ditetapkan pada 6 April ini.
- Beberapa siri bantahan dan serangan ke atas tempat ibadat berlaku ekoran satu keputusan mahkamah akhir tahun lalu yang membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam ruangan bahasa Melayunya.



Post a Comment