
Lebih 500 orang bertindak agresif memaki hamun sambil membaling objek ke arah pintu utama Pejabat Imigresen negeri, di Wisma Persekutuan,Johore Bahru kelmarin, bagi melepaskan geram selepas gagal mendapatkan nombor giliran untuk memperbaharui dan membuat pasport baru masing-masing.
Sumber: Cynews, BMM.
- Insiden sekitar 8 pagi itu berlaku selepas kebanyakan pemohon yang menunggu di luar pejabat imigresen seawal 5 pagi hilang sabar apabila gagal berurusan di kaunter imigresen walaupun sudah berulang alik ke pejabat itu sejak tiga hari lalu.
- Agensi itu, yang sepatutnya mula beroperasi jam 8 pagi, bermula sedikit lewat menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.
- Keadaan bertambah kecoh apabila mereka mendapati pintu masuk utama premis yang akhirnya dibuka hanya dibuka separuh serta dikawal rapi pengawal keselamatan.
- Ekoran daripada kejadian itu, ada pemohon yang tidak dapat mengawal perasaan sehingga mula membaling batu dan objek keras ke laluan masuk pejabat tersebut menyebabkan pintu kaca utama pecah sebelum kakitangan keselamatan bertindak menghubungi polis untuk segera mengawal keadaan.
- Sebaik unit peronda polis muncul, keadaan kembali terkawal apabila orang ramai mulai berundur dan akur dengan nasihat polis yang meminta mereka beredar secara aman.
- Pengarah Imigresen Negeri, Encik Mohd Nasri Ishak, berkata pihaknya memulakan operasi seawal jam 8 pagi, namun terpaksa menapis pemohon yang masuk kerana mereka terlalu ramai.
- 'Kami memulakan operasi sebagaimana yang dijadualkan, namun terpaksa membuat kawalan ketat di pintu masuk kerana jumlah pelanggan yang berganda berbanding hari biasa,' kata beliau yang ditukil Berita Minggu Malaysia semalam.
- 'Kami juga terpaksa berhati- hati ketika mengeluarkan nombor giliran kepada orang ramai kerana bimbang kakitangan kaunter tidak dapat mengendalikan seluruh pelanggan dalam tempoh ditetapkan,' katanya.
- Encik Mohd Nasri berkata seramai 20 kakitangan imigresen ditugaskan mengendalikan urusan pembaharuan dan permohonan dokumen pelanggan di pejabat itu di sini, semalam.
- Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob, mengesahkan tidak ada individu ditahan atau cedera dalam kejadian tersebut.
- 'Kekecohan itu dipercayai berpunca daripada jumlah pemoho yang terlalu ramai dan datang serentak dalam tempoh sama,' kata beliau.



Post a Comment