
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, akan ke Uruguay dalam masa terdekat untuk menguruskan proses membawa pulang dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dilaporkan hilang dua tahun lalu di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi dan Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth.
Sumber: CyNews.
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemergian Tan Sri Abdul Gani ke negara Amerika Selatan itu bertujuan menguruskan beberapa dokumen perundangan sebelum dua enjin pesawat berkenaan boleh dibawa pulang ke Malaysia.
- 'Dua hari lalu, saya sudah berbincang dengan Peguam Negara dan beliau akan ke Uruguay untuk membawa balik dua enjin jet berkenaan. Bagaimanapun, beberapa proses perundangan perlu diselesaikan sebelum enjin itu boleh dibawa balik ke Malaysia,' kata Dr Ahmad Zahid seperti ditukil akhbar Berita Harian Malaysia.
- 'Beberapa dokumen perundangan untuk membawa balik enjin jet itu sudah diperoleh pejabat Peguam Negara melalui kerjasama daripada Kedutaan Uruguay di sini,' kata Menteri Pertahanan itu.
- Sabtu lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan berusaha dengan pelbagai cara untuk membawa pulang dua enjin pesawat tempur itu walaupun kedua-duanya tidak lagi dikategorikan sebagai aset pertahanan strategik negara.
- Menurutnya, dengan nilai RM303,000 dan berusia lebih 35 tahun, enjin itu tidak seperti enjin pesawat Sukhoi atau F-18. Ini kerana dari segi keupayaan dan teknologi, enjin F-5E tidak lagi digunakan di barisan hadapan pertahanan negara.
- Dua enjin pesawat tempur F-5E berkenaan kini diletakkan di bawah kawalan ketat di suatu tempat oleh pihak berkuasa Uruguay.
- Enjin tersebut dilaporkan ditemui pihak berkuasa Uruguay di sebuah gudang di Montevideo, ibu negara itu, sebelum disita dan dipindahkan ke tempat lain sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Malaysia.
- Duta Besar Malaysia ke Buenos Aires, Argentina, yang turut ditauliahkan ke Uruguay, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata beliau difahamkan proses membawa balik aset ketenteraan itu sedang diusahakan menerusi saluran diplomatik antara Jabatan Peguam Negara dengan pemerintah Uruguay.



Post a Comment