Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, diperintah tunjuk sebab pada 7 Mac ini kerana mengingkari perintah yang membenarkan isteri kedua Tuanku Ismail Petra melaksanakan perintah ex-parte (sebelah pihak) oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 4 Februari lalu.- Hakim Mahkamah Syarie, Encik Mohamed Yusoff Awang, membuat keputusan tersebut di dalam kamar selepas mendengar permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) Cik Elia Suhana Ahmad, 31 tahun, bersama peguamnya, Encik Fakhrul Azman Abu Hasan, di sini kelmarin.
- Selain Raja Perempuan, dua lagi responden yang dinamakan ialah Encik Mohd Shahrizan Zainal Abidin iaitu pengawal peribadi responden pertama dan Cik Zaiton Hussein Merican, pekerja di Istana Kelantan.
- Menurut Encik Fakhrul Azman, mahkamah telah membenarkan pihak Cik Elia Suhana mendapatkan kerjasama pihak polis untuk melaksanakan perintah tersebut dengan apa cara sekalipun bagi membolehkan responden mendapat hak giliran bersama Sultan Kelantan, yang masih dirawat di Singapura.
- Ketiga-tiga mereka dikehendaki hadir pada masa dan tarikh yang disebutkan bagi menunjukkan sebab mengapa mereka tidak patut dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
- Mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000 ($828) kerana melakukan kesalahan menghina mahkamah dengan mungkir atau gagal mematuhi perintah ex-parte Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 4 Februari lalu.
- 'Elia Suhana sebelum ini telah mendapat perintah hak giliran eksklusif selama dua hari dalam seminggu, bermula Sabtu 7 pagi sehingga Isnin waktu yang sama oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
- 'Tetapi perintah itu tidak dapat dilaksanakan kerana dihalang oleh responden pertama,' katanya.
- Encik Fakhrul Azman berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding berlangsung yang turut dihadiri anak guamnya, Cik Elia Suhana, yang kelihatan tenang, berbaju kurung moden dan bertudung ungu.
- 'Sudah enam bulan Elia tidak bertemu suaminya dan kali terakhir pada 12 Februari lalu, beliau tetap dihalang daripada berjumpa suaminya,' katanya.
- Menurut Encik Fakhrul, sebelum ini anak guamnya enggan membawa kes tersebut ke mahkamah tetapi selepas beberapa kali dihalang malah kunjungannya dibuat laporan polis atas alasan menceroboh, tindakan sewajarnyarrnya terpaksa diambil.
- 'Ketika Sultan Kelantan menerima rawatan, Cik Elia Suhana melawat suaminya pada sebelah pagi supaya tidak menimbulkan kekecohan tetapi dia dilaporkan menceroboh, lantas tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan haknya,' katanya.
Sumber: Cy News, Utusan Malaysia.
Post a Comment