

Segelintir suri rumah sanggup memperjudikan rumah tangga, termasuk memujuk suami menceraikan mereka demi memperoleh status 'janda segera' gara-gara terpengaruh tawaran pakej hidup percuma oleh bomoh puja nombor ekor di bandar raya Johor Bahru.
Sumber: CyNews, Harian Metro.
- Perbuatan bomoh itu dibongkar seorang suami yang hidup tertekan dan keliru akibat desakan isterinya supaya menceraikannya semata-mata kerana mahu memiliki kemewahan hidup secara mudah.
- Encik Zulkifli Abu Hassan, 38 tahun, seorang pemandu teksi, berkata beliau tidak menyangka isterinya yang berusia 30-an termakan pujukan bomoh yang didakwa menawarkan duit poket hingga RM1,000 sebulan.
- Ini selain janji manis akan menanggung segala kos makan dan minum serta sewa rumah sekiranya bersetuju menuruti kehendak gilanya itu.
- Menurutnya, beliau juga terkilan sikap isterinya yang bersedia mencari rezeki dengan cara tidak halal, termasuk menceburi amalan khurafat apabila dijadikan barang perantara utama ketika pemujaan nombor ekor dilakukan bomoh dikenali sebagai Pak Ungku.
- 'Kononnya syarat yang dikenakan bomoh itu hanya satu iaitu menghendaki isteri berpisah dengan saya dan bergelar janda secepat mungkin bagi membolehkan dia dijadikan perantara ketika pemujaan nombor ekor yang akan dilakukan bersama kaki judi.
- 'Lebih pelik, biarpun sudah menjadi teman hidup saya lebih 16 tahun, syaitan bertopengkan manusia yang dikenali isteri sejak lebih setahun lalu itu mampu mempengaruhi pemikirannya tanpa memikir masa depan keluarga dan nasib enam anak kami.
- 'Bomoh berusia 60-an yang kononnya terkenal dengan kepandaian ilmu tarik wang dan harta karun itu meracuni pemikiran isteri termasuk berjanji menyediakan segala keperluan dan menjamin kebahagiaan isteri saya sepanjang hayat selepas bergelar janda,' katanya yang membuat dua laporan di Balai Polis Nusajaya, Johor bahru baru-baru ini.
- Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor (JAJ), Encik Yosree Ikhsan, berkata tindakan isteri lelaki berkenaan meminta cerai semata-mata kerana terpengaruh tawaran bomoh itu perbuatan tidak masuk akal.
- Beliau berkata, perbuatan bersubahat dalam proses pemujaan seumpama itu perbuatan berdosa dan boleh membawa kesesatan.
- 'Kami berharap suami wanita berkenaan dapat menghubungi JAJ. Maklumat daripada wanita itu penting bagi membantu kami bagi mengesan bomoh terbabit seterusnya membolehkan kami mengambil tindakan bersesuaian,' katanya ketika dihubungi.



Post a Comment