
Puluhan ribu penyokong mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, mula berkumpul semalam menjelang bantahan besar-besaran di ibu kota Bangkok hari ini, bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Sumber: AFP.
- Sekitar 4,000 penunjuk perasaan daripada kumpulan Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD) atau 'Baju Merah' sudah pun berkumpul di Dataran Sanam Luang di pusat bandar Bangkok awal semalam.
- Sementara itu 30,000 lagi anggota Baju Merah sudah berhimpun di utara Thailand untuk memulakan perjalanan bagi menyertai tunjuk perasaan besar-besaran di Bangkok esok.
- Para penganjur menegaskan tunjuk perasaan akan diadakan secara aman. Namun kerajaan telah mengerah 50,000 pegawai keselamatan untuk mengawal keadaan.
- Kabinet Thai Selasa lalu meluluskan penggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan ia mengenakan perintah berkurung dan mengerah askar bagi mencegah kekacauan.
- Bantahan besar-besaran diadakan Baju Merah dua minggu selepas Mahkamah Agung Thailand menyita aset Encik Thaksin berjumlah AS$1.4 bilion ($1.95 bilion).
- 'Saya berikan sokongan moral kepada Baju Merah yang membuat pengorbanan dan sedang keluar untuk mencatat sejarah hari ini,' kata Encik Thaksin menulis melalui laman web Twitter.
- Kira-kira 20,000 penunjuk perasaan sudah pun berlepas dari bandar Chiang Mai, utara Thailand, menuju Bangkok, menurut pemimpin UDD, Encik Petchawat Wattanapongsirikul.
- Sementara itu 10,000 lagi sudah berlepas dari Udon Thani di timur laut Thailand, kata seorang lagi pemimpin UDD, Encik Kwanchai Praipana.
- Ribuan lagi penyokong Encik Thaksin sudah berhimpun di wilayah lain, tetapi jumlah mereka tidak diketahui, kata para pegawai dan penganjur.
- Kumpulan Baju Merah sebahagian besarnya rakyat miskin di luar bandar yang mendapat faedah daripada program membantu rakyat semasa Encik Thaksin memerintah.
- Mereka mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Encik Abhisit Vejjajiva mewakili golongan elit dan disokong pihak tentera.
- Mereka menggesa Encik Abhisit meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya baru. Tetapi gesaan itu ditolak Encik Abhisit semalam.
- 'Saya akan hanya membubarkan parlimen demi kebaikan rakyat, bukan untuk ketenteraman sementara. Oleh itu kerajaan akan teruskan tugas,' tegas beliau yang membatalkan lawatan ke Australia disebabkan bantahan hujung minggu ini.
- Semalam, tiga letupan berlaku di bandar Surat Thani, selatan Thailand. Tetapi tiada sesiapa cedera.
- Timbalan Perdana Menteri Thailand, Encik Suthep Thaugsuban, mengesyaki serangan itu dilakukan golongan yang mahu mencetus kekacauan.



Post a Comment